GEORGE TOWN: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang membongkar kegiatan memproses i-Kad Imigresen, kad Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan lesen memandu Pakistan palsu disyaki didalangi warga Pakistan dalam operasi di rumah pangsa di Persiaran Mayang Pasir 5, Bayan Lepas, di sini, semalam.

Pengarah Imigresen Pulau Pinang Shah Inor Shahbudin berkata, operasi bermula pukul 12.30 tengah malam itu dibuat berdasarkan aduan awam dan risikan berhubung kegiatan warga asing yang dilihat sering berkeliaran di kawasan penempatan tersebut sehingga menimbulkan kebimbangan warga tempatan.

Beliau berkata sebanyak 33 individu telah diperiksa dari 11 unit rumah dan daripada jumlah itu, lima telah ditahan terdiri daripada seorang wanita dan seorang lelaki warganegara Myanmar serta tiga lelaki warganegara Pakistan.

"Semasa serbuan di sebuah daripada rumah didiami warga Pakistan, anggota operasi telah menemukan beberapa peralatan elektronik termasuk komputer riba, mesin lamina, mesin pencetak, 246 keping kad plastik keras yang belum bercetak dan tiga keping pasport yang sedang diubah usai.

"Turut ditemukan ialah lima keping i-Kad Imigresen, tiga kad CIDB dan lima keping lesen memandu antarabangsa Pakistan yang telah siap dicetak.

"Selain itu, peralatan pengubahsuaian pasport, 57 keping plastik lamina lut sinar, pemacu cakera keras serta tiga telefon bimbit pelbagai jenama," katanya dalam kenyataan.

Menurut Shah Inor selain kesalahan memalsukan dokumen, kesalahan lain yang dilakukan ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya menambah semua warga asing berusia 30 hingga 50 tahun itu ditahan di Depot Imigresen Juru untuk tindakan lanjut.

Shah Inor berkata operasi seumpamanya akan dilaksanakan secara berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warganegara asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) atau sebarang maklumat yang boleh membantu JIM dalam melaksanakan penguatkuasaan diminta tampil menyalurkan maklumat tersebut.

-- BERNAMA